Lebih 4 000 daftar sebagai mahasiswa baru UUM

Universiti Utara Malaysia (UUM)

ALOR SETAR - Lebih 4,000 mendaftar sebagai mahasiswa baharu di Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi kemasukan sesi pertama 2013/2014, dengan 90 peratus daripadanya memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK), sekurang-kurangnya 3.00.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Abdul Malek Abdul Karim berkata, UUM juga menerima peningkatan daripada segi permohonan berkualiti.

"Permohonan calon-calon mahasiswa dengan PNGK 3.00 meningkat daripada 78 peratus kepada 90 peratus berbanding permohonan kemasukan sebelumnya.

"Ini merupakan tinjauan usaha pihak universiti termasuk meningkatkan mutu program-program pengajian yang ditawarkan," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata UUM juga diterima sebagai anggota badan antarabangsa seperti Asean University Network yang mempunyai 30 anggota di seluruh Asean dan giat mengadakan aktiviti promosi di dalam serta luar negara.   

Abdul Malek berkata bagi pengambilan kali ini, lebih 3,000 mahasiswa akan mengikuti pengajian di peringkat ijazah pertama membabitkan 39 program, manakala hampir 1,000 lagi di peringkat pasca siswazah.

Beliau berkata, hampir 700 pelajar pula terdiri daripada mahasiswa antarabangsa dari 38 negara antaranya Indonesia, Thailand, China, Libya, Somalia dan Tanzania.

"Bilangan pelajar dijangka akan bertambah kerana sesi pendaftaran masih lagi berlangsung. Kita menjangkakan lebih ramai pelajar khususnya pelajar antarabangsa akan mendaftar masuk ke UUM dalam tempoh terdekat," katanya.

Beliau berkata tiga program pengajian yang mendapat permintaan tertinggi adalah Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian), Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) dan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian).

"Dua program baharu turut ditawarkan mulai sesi pengajian kali ini iaitu Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif (Kepujian) dan Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Undang-undang dan Perniagaan (Kepujian)," katanya. - Bernama

Posting Komentar