MAS Tawar Tambang Istimewa


NEW DELHI – Malaysia Airlines (MAS) menawarkan tambang istimewa dari Chennai dan Bangalore ke bandar raya di Australia sebagai sebahagian kempen promosi pelancongan bersama-sama Tourism Australia.

Tambang berkenaan dari Rs 44,999 (RM2,328) dari Chennai dan Bangalore, Rs 46,999 (RM2,431) dari Mumbai dan Hyderabad, serta Rs 51,999 (RM2,690) dari Delhi, ditawarkan untuk jualan sehingga akhir bulan ini.

Tambang berkenaan sah sehingga 30 April, 2014, demikian menurut laporan The Times India.

“India selalu menjadi sumber pasaran utama dan MAS terus memperkenalkan tambang promosi baharu dan perkhidmatan nilai tambah, sama ada menu baharu India atau hiburan dalam penerbangan atau menambah peruntukan bagasi,” kata Naib Presiden Jualan Serantau Asia Selatan dan Timur Tengah Azahar Hamid.

MAS menyediakan sambungan dari enam bandar raya India ke Australia melalui Kuala Lumpur.

Laporan itu menyebut, tawaran terkini ini selepas perjalanan pelancongan ke Australia meningkat sejak kebelakangan ini dengan kenaikan konsisten dalam jumlah pengembara dari India.

Terdapat 10,900 pengunjung dari India pada Julai 2013, menjadikan jumlah tujuh bulan pertama tahun ini kepada 95,900.

Peningkatan sebanyak 6.3 peratus ini apabila dibandingkan dengan jumlah penumpang pada tempoh yang sama pada tahun sebelumnya. Ketibaan pengunjung untuk liburan semasa tempoh berkenaan naik sebanyak 15 peratus.

Pengurus Negara Tourism Australia Nishant Kashikar berkata tawaran MAS akan membantu memacu perjalanan dari India semasa musim percutian dan perkahwinan (berbulan madu).

Tawaran MAS melibatkan sambungan ke bandar Australia seperti Adelaide, Brisbane, Darwin, Melbourne, Perth dan Sydney dari enam bandar India.

Tambahan kepada tambang yang kompetitif ini, syarikat penerbangan itu juga membenarkan peruntukan bagasi sebanyak 40 kilogram dalam kelas perniagan dan 30 kilogram bagi kelas ekonomi. – BERNAMA

Posting Komentar