Bekas Imam Rogol Budak Bawah Umur

Bekas Imam Rogol Budak Bawah Umur

Bekas Imam Rogol Budak Bawah Umur - “Sebagai seorang imam, tertuduh sepatutnya tahu mengenai hukum dan tidak patut melakukan perbuatan demikian. Tertuduh sepatutnya memberi contoh yang baik pada masyarakat dan juga menjaga nama baik institusi yang beliau wakili,” kata Hakim Mahkamah Sesyen Nua’man Mahmud Zuhudi ketika menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan 12 sebatan ke atas bekas imam sebuah masjid kerana kesalahan merogol remaja bawah umur.
Beliau memerintahkan tertuduh Nur Akmal @ Basok Bakri Abdul Kader, 32, menjalani hukuman itu bermula hari ini.
Nur Akmal, 32, didapati bersalah merogol remaja perempuan itu yang ketika kejadian berumur 13 tahun di rumahnya di Taman Perling, di Johor Bahru pada kira-kira 3 petang, 21 Februari 2011.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Ketika menyampaikan penghakimannya, Hakim Nua’man berkata keterangan tertuduh ketika perbicaraan hanyalah bersifat penafian semata-mata dan tidak boleh dipercayai serta gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Nur Akmal yang sudah berkahwin dan memiliki seorang anak berusia empat tahun pada mulanya kelihatan tenang ketika keputusan dibacakan tetapi mula menitiskan air mata ketika dipeluk anggota keluarga.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya Mohd Afif Ali manakala tertuduh diwakili peguam Sukhaimi Mashud. – paapaada.blogspot

Isteri guna darah haid dan air mani gajah sihir suami

NORFARHIZA MOHD ATAR
30 September 2012
Isteri guna darah haid dan air mani gajah sihir suami Labels
Halim menceritakan kepada penulis mengenai nasib dirinya yang menjadi mangsa sihir isteri sejak lima tahun lalu.
SEORANG isteri tergamak menggunakan darah haidnya dan air mani gajah untuk menyihir suami supaya menurut segala perintahnya, manakala dia bebas melakukan apa saja.

Selain dua bahan jijik itu, isteri durjana berkenaan turut menggunakan minyak pengasih, tangkal pengikat nafsu dan wafak (gambar rajah yang dilukis di atas kain kuning dalam bentuk tulisan Jawi dengan menggunakan kalimah ALLAH) supaya dia kelihatan hebat pada pandangan orang lain.

Bagi memastikan kemujaraban tangkal darah haid itu, ia  dibalut dalam kertas bertulisan Jawi dicelup dalam minuman suami.

Apabila meminum air itu, suami menjadi lemah, tidak mampu melawan kata-kata isteri, menurut arahannya atau menjadi pak turut, selain mengalami sakit badan dan kepala serta jiwa yang tidak tenteram.

Kesengsaraan itu diceritakan seorang suami yang mahu dikenali sebagai Halim, 30-an, apabila menjadi mangsa sihir isteri sejak lima tahun lalu.

Dia yang berasal dari daerah Lipis dan pernah bekerja di Petaling Jaya, Selangor, mendakwa menjadi mangsa kezaliman isterinya sejak sebelum berkahwin sehingga rahsia ilmu hitam yang dipraktikkan itu terbongkar Disember lalu.

Menurutnya, dia terkejut apabila menemui pelbagai jenis tangkal yang disimpan di rumah, termasuk didakwa darah haid yang digunakan untuk menundukkannya.

“Selama ini memang banyak perubahan berlaku pada diri saya. Saya jadi malas hendak bekerja, bila bergaduh dengan isteri saya cepat mengalah meskipun ada ketika dia salah, selalu sakit badan dan kepala, manakala hati selalu tidak tenteram.

“Segala masalah itu terbongkar apabila saya menemui nota jampi serapah di atas meja isteri. Hasil pencarian di dalam rumah, saya menemui pelbagai jenis tangkal yang dia simpan rapi di dalam sebuah kotak.

“Saya turut menemui SMS isteri yang dipercayai menjalin hubungan sulit dengan suami orang yang juga pelanggannya. Sebenarnya dia mahu kelihatan berkuasa dan pernah berkata kepada saya, jika dia hendak sesuatu dia akan lakukan walau apa cara sekalipun. Mungkin kerana itu, saya menjadi sasaran,” katanya di sini, kelmarin.sinar harian

Persenda Islam Pasangan Gagal Batal Pertuduhan


KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee untuk membatalkan satu daripada tiga pertuduhan mempersenda umat Islam dan bulan Ramadan.

Hakim Kamardin Hashim membuat keputusan itu selepas berpendapat permohonan itu tidak mempunyai merit.

Dalam penghakimannya, beliau berkata pertuduhan terhadap pasangan itu mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan adalah sah, teratur dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Sepintas lalu membaca peruntukan di bawah Seksyen 298A(1)(a), mahkamah mendapati amat jelas, sejelas gelas kristal, bahawa peruntukan itu langsung tidak menyebut secara khusus bahawa ia ditujukan khas kepada penganut beragama Islam tetapi terpakai kepada penganut agama atau kepercayaan yang lain juga,” katanya.

Pada 21 Ogos lepas, Alvin atau nama penuhnya Tan Jye Yee, 25, dan Vivian atau Lee May Ling, 24, memfailkan permohonan bagi membatalkan pertuduhan terhadap mereka berkaitan satu kandungan gambar dan komen bertajuk ‘Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh..wangi, enak, menyelerakan !!!)’ yang dimuat naik ke laman Facebook.

Mereka memohon deklarasi bahawa Seksyen 298A(1)(a) tidak konsisten dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta tidak boleh dikuatkuasakan terhadap mereka dan jika pertuduhan itu sah di sisi undang-undang, ia hanya terpakai kepada orang Islam.

Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa memuat naik satu kandungan gambar serta komen beserta logo halal, yang mungkin menyebabkan perasaan permusuhan dalam kalangan penganut agama berlainan, di CAF-Syed Restaurant Jalan Dang Wangi di sini antara 11 dan 12 Julai lepas.

Mereka juga didakwa memuat naik satu penerbitan menghasut di laman Facebook ‘Alvin and Vivian-Alvivi’ di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers iaitu kandungan gambar dan komen yang sama pada tarikh sama di Kompleks Mutiara Jalan Ipoh, Batu 3 1/2 di sini mengikut Akta Hasutan 1948.

Mereka turut berdepan pertuduhan mempamer gambar lucah di http://alviviswingers.tumblr.com/ di tempat sama antara 6 dan 7 Julai lepas mengikut Akta Penapisan Filem 2002.

Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, Alvin dan Vivian sekali lagi memohon maaf atas perbuatan mereka dan berjanji tidak akan mengulanginya manakala peguam Chong Joo Tian, yang mewakili pasangan itu, berkata pihaknya akan memfailkan rayuan dan mengemukakan representasi kepada Peguam Negara.

Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 5 dan 6 Dis sebagai tarikh perbicaran kes itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Haffiza Jemali. – BERNAMA